Walaupun persalinan ini dikatakan dipengaruhi unsur Jawa dan Cina pada hiasan kepalanya, ada pula yang mengatakan ianya menyerupai perhiasan kepala masyarakat Pelembang, namun baju serta hiasannya dan kain sarung tetap berunsur tempatan, yakni Melayu. Untuk makluman, pemakaian persalinan ini merangkumi tiga bahagian iaitu hiasan kepala, baju serta kain sarung.
Hiasan kepala empat tingkat daripada perak bersadur emas dikenali sebagai Kepih Dahi, Kepih Sanggul, Sisir, Bunga Tajuk dan Cucuk Sanggul Berjuntai. Ianya dipakai serta diatur kemas secara bertingkat di atas kepala. Sebelum itu, rambut hendaklah dibuat dua sanggul iaitu satu di tengah kepala serta yang selebihnya disanggul di belakang untuk diserikan dengan bunga-bungaan. Sementara lolek emas bermata intan pula dipakai sebagai penyeri telinga.
Pendakak yang berupa rantai dijahit kemas dileher baju. Kerepek Dada bersadur emas dalam corak bunga-bungaan dan tampok manggis dijahit kemas secara bertabur pada bahagian dada baju. Baju yang diperbuat daripada kain baldu rona merah ini berleher bulat dan berlengan pendek berupa seperti baju kurung moden. Selain itu, dibahagian leher dipakaikan dengan rantai emas daripada duit siling lama seperti choker.
Singgat/Buku Bemban dan Kancing bersadur emas dipakai sebelah menyebelah di hujung lengan baju supaya hujung baju nampak kemas dan ketat. Tidak lengkap persalinan ini kalau tidak mengenakan Gelang Aluk yang dipakai sama ada tujuh atau sembilan utas mengikut taraf atau pangkat orang-orang melayu golongan bangsawan zaman dahulu. Ianya dipakaikan dari yang besar di bahagian lengan hingga yang kecil di pergelangan tangan. Keroncong pula menghias kaki sepemakai.
Tudung keringkam rona merah yang disulam dengan benang emas dibentuk seperti rerama disangkut pada bahu yang dipadankan dengan Kain Sarung Belatak daripada Songket Brunei atau dikenali jugak Songket Brunei Tenunan Sarawak atau Jong Sarat. Bahagian sisi kain sarung dilipat rapi dan dibentuk kemas seperti ikat ombak mengalun bagi menimbulkan kesan yang unik kepada sipemakai. Pendin Besar serta Tali Pinggang dipakai sebagai penahan kain. Tidak lengkap bagi pengantin jika tidak menggayakan Bunga Tangan perak bersadur emas.